Tiga cedera, gerai tebu dirempuh pemandu positif dadah

0
2105
KEADAAN gerai tebu yang rosak akibat dirempuh sebuah kereta mengakibatkan dua pelajar sekolah menengah dan seorang peniaga cedera dalam nahas di Jalan Limbongan, Melaka petang tadi.

KLEBANG 18 April – Dua pelajar sekolah menengah dan seorang peniaga cedera selepas sebuah gerai tebu dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai positif dadah di Jalan Limbongan, di sini petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang tadi apabila kereta jenis Nissan dipandu lelaki berusia 47 tahun itu tiba-tiba terbabas sebelum merempuh gerai terbabit bersama ketiga-tiga mangsa.

“Rempuhan mengakibatkan dua beradik yang juga pelajar sekolah menengah masing-masing perempuan dan lelaki berumur 15 dan 13 tahun cedera di bahu kanan, perut dan kaki kiri.

“Turut cedera adalah peniaga gerai terbabit, wanita berusia 57 tahun yang cedera di bahagian kaki. Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

KEADAAN gerai tebu yang rosak akibat dirempuh sebuah kereta mengakibatkan dua pelajar sekolah menengah dan seorang peniaga cedera dalam nahas di Jalan Limbongan, Melaka petang tadi

Mengulas lanjut Hasan berkata, pemandu kereta Nissan terbabit yang datang dari arah Bandar Melaka ke Klebang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semakan mendapati, pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia yang bekerja sebagai juru elektrik positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

“Bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lelaki terbabit turut mempunyai rekod kes dadah dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok,” katanya.

Tambahnya, polis masih melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapa

tkan berita-berita yang terkini.