Gurauan isteri sebelum ke stadium petanda nak menang motosikal

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 18 April. – “Sebelum datang ke stadium, isteri saya berseloroh minta saya bawa topi keledar. Rupanya itu petanda saya nak menang motosikal baharu.”

Itu reaksi Mohd Ali Hanafiah Jamaat, 60, pemenang cabutan bertuah kempen promosi Jom Tengok Bola yang membawa pulang hadiah utama sebuah motosikal Honda RS150 di Stadium Hang Jebat, di sini, malam ini.

Anak jati Kampung Telok Gong itu mengakui seakan tidak percaya apabila namanya dipilih oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di antara 690 penyokong Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) lain yang hadir.

MOHD Ali tidak sangka gurauan isteri petanda dia akan memenangi hadiah motosikal baharu.

“Saya memang meminati Melaka United sejak dahulu lagi dan sering menyaksikan perlawanan di stadium. Namun selepas negara dilanda pandemik COVID-19 saya sudah lama tidak dapat ke stadium dan terpaksa menyaksikan perlawanan di rumah sahaja.

“Namun kebetulan anak lelaki saya membelikan tiket untuk menyaksikan perlawanan pada malam ini dan saya tidak menaruh apa-apa harapan untuk menang hadiah.

“Namun mungkin ini rezeki Ramadan buat kami sekeluarga,” katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Sulaiman dan turut disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Untuk rekod, hadiah motosikal itu merupakan tajaan KenTeam Sdn Bhd, pemilik MUFC dalam usaha menarik kehadiran penyokong ke stadium.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1132
Kongsi :
Previous post Keputusan tutup sekolah penilaian bersama PKD, KPM dan kerajaan negeri
Next post Tiga cedera, gerai tebu dirempuh pemandu positif dadah
Ubah saiz-+=