Keputusan tutup sekolah penilaian bersama PKD, KPM dan kerajaan negeri

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANGKAK 18 April. – Keputusan berkenaan penutupan sekolah berikutan kes COVID-19 adalah berdasarkan penilaian bersama Pejabat Kesihatan Daerah bersama Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata penilaian itu mengambil kira antaranya bilangan kakitangan dan murid sekolah yang terpaksa menjalani kuarantin atau Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) setelah disahkan positif COVID-19.

DR ADHAM menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penerima daripada B40 dan penyampaian sijil penghargaan pendaftaran vaksin kepada pemimpin masyarakat dalam Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Tangkak di Pekarangan Masjid Jamek, Tangkak. Foto Facebook Dr Adham.

“Bagaimanapun, jika melibatkan anak murid tetapi kakitangan sekolah tidak terlibat, kita boleh buka sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi COVID-19 ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ Peringkat Daerah Tangkak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada sekolah lain yang dicadangkan Kementerian Kesihatan supaya ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di sekolah-sekolah berkenaan.

Ini susulan arahan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan agar semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.

Sementara itu, Dr Adham berkata seramai 9,916 penduduk berumur 75 tahun ke atas dijadualkan menerima suntikan vaksin COVID-19 apabila fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula esok.

Mereka akan menerima suntikan itu di 30 pusat pemberian vaksin di seluruh negara, iaitu masing-masing lima di Kedah, Pahang dan Pulau Pinang, empat di Sabah, masing-masing tiga di Terengganu dan Melaka, dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Perlis, Sarawak dan Labuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

525
Kongsi :
Previous post 10 kes baharu di Melaka berpunca aktiviti rentas negeri
Next post Gurauan isteri sebelum ke stadium petanda nak menang motosikal
Ubah saiz-+=