Pembangunan Dataran Keris & Pasar Besar Alor Gajah akan dipergiat

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TABOH NANING 3 Julai – Perancangan bagi membangunkan semula Dataran Keris dan Pasar Besar Alor Gajah akan terus dipergiat sebagai keperluan utama bagi membangunkan ekonomi masyarakat sekali gus mampu memperkasa sektor pelancongan di kawasan terbabit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan akan mengkaji semula penstukturan dan penyelenggaraan fasiliti lokasi terlibat agar perancangan pembangunan berkenaan lebih teratur dan sistematik.

Ujarnya, pihak terlibat perlu mengkaji semula keperluan peniaga, kehendak pasaran dan seterusnya langkah penelitian akan diambil kementeriannya bagi mempertimbangkan usaha berkenaan.

“Kerajaan akan mengkaji semula permasalahan lain termasuk isu banjir yang melanda Dataran Keris setiap kali hujan lebat berlaku dan ini telah memberi kesan kepada peniaga terlibat.

” Pelbagai perancangan lain akan dilaksanakan termasuk langkah menceriakan kawasan ini yang mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika ditemui pemberita selepas melakukan Lawatan Kerja di Dataran Keris Alor Gajah, di sini, pagi tadi.

Dalam pada itu, Zuraidah menekankan peniaga di kawasan berkenaan perlu bekerjasama dan memainkan peranan bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi meningkatkan ekonomi di kawasan tersebut.

Menurutnya, langkah penelitian semua cukai taksiran di premis kawasan itu harus dilaksanakan berikutan ia tidak dikaji semula puluhan tahun dahulu sejak 1988.

“Sudah hampir berdekad cukai taksiran ini tidak diteliti semula dan inilah masanya kajian semula harus dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di kawasan ini.

“Jika kita ingin bersama mempertingkatkan sektor ekonomi di kawasan ini, peniaga perlu memainkan peranan sama dalam mengendalikan perkara ini,” katanya.

Views:

695
Kongsi :
Previous post ‘Panggil semula lebih 100 saksi kes Adib’ – Zuraida
Next post PERTAM bercadang majukan tanah terbiar
Ubah saiz-+=