Masih ada sektor ‘non essential’ beroperasi – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

GAPAM 17 Jun – Setiap majikan dan pengilang perlu memberikan kerjasama berikutan hanya sektor perlu sahaja dibenarkan beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit berikutan masih terdapat beberapa pekerja yang bukan terdiri daripada sektor perlu berada di jalan raya dengan memberikan alasan masih bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kita akan bawa perkara ini untuk diperincikan lagi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 bagi memastikan hanya sektor perlu sahaja dibenarkan dalam tempoh PKP 3.0 berkuat kuasa.

“Perkara ini perlu diambil berat kerana sekiranya ini berlarutan dan diabaikan pelaksanaan PKP dalam tempoh penularan pandemik ini tidak ada keberkesanannya.

“Hanya kilang dan majikan dalam sektor berkepentingan sahaja dibenarkan beroperasi untuk mengarahkan pekerja datang ke tempat kerja. Kita tahu ramai yang terkesan dalam tempoh ini, cuma kita perlukan kerjasama mereka bagi melandaikan lekuk jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melakukan tinjauan di empat lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Alor Gajah dan Jasin petang tadi.

Sulaiman berkata, pihaknya berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang cekal berkhidmat di SJR sepanjang wabak terbabit melanda negara.

Ujarnya, kerajaan negeri sedia membantu golongan barisan hadapan terbabit sekiranya berdepan kekurangan dan kekangan fasiliti di sepanjang penugasan di lokasi SJR yang ditetapkan di Melaka.

“Alhamdulillah… kita melihat kesemua mereka ini dibekalkan kemudahan seperti ruang solat, tandas dan sumber air, malah jika didapati mereka ini terdapat kekangan dalam penugasannya kita sedia tampil bagi membantu mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post STAM 2020: Melaka catat GPN 2.43
Next post Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 fokus ekonomi rakyat dan kapitalis
Ubah saiz-+=