STAM 2020: Melaka catat GPN 2.43

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 17 Jun- Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 di Melaka mencatatkan nilai Gred Purata Nasional (GPN) 2.43 dengan 79 calon layak mendapat sijil.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr. Mohd Azam Ahmad ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) berkata, GPN tahun ini menunjukkan peningkatan 0.21 berbanding GPN 2019 dengan 2.64.

Katanya, meskipun tiada calon cemerlang Mumtaz semua mata pelajaran pada tahun ini, namun terdapat peningkatan penerima sijil Mumtaz berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr. Mohd Azam Ahmad.

“Tahun ini seramai 10 calon yang layak mendapat sijil Mumtaz (Cemerlang), 36 mendapat sijil Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 31 mendapat sijil Jayyid (Baik) dan 2 layak mendapat sijil Maqbul (lulus).

“Jumlah peratusan calon lulus juga menunjukkan peningkatan dari 78.57 peratus pada tahun 2019 dan meningkat 14.37 peratus menjadi 92.94 peratus pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan keputusan peperiksaan STAM 2020 di negeri ini menunjukkan prestasi yang baik serta lapan daripada 10 mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan daripada segi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Shukri Che Mat ketika dihubungi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada tiga sekolah yang menaikkan prestasi Gred Purata Sekolah (GPS).

“Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada calon yang cemerlang dan layak mendapat sijil, tidak dilupakan juga tahniah kepada sekolah yang GPS meningkat.

“Tiga Sekolah yang menunjukkan peningkatan GPS, Sekolah Menengah Arab (SMA) JAIM Al-Ahmadi; SMA JAIM Al-Asyraf dan SMA JAIM Assyakirin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2089
Kongsi :
Previous post SOP Aidiladha hampir sama seperti tahun lalu- Sulaiman
Next post Masih ada sektor ‘non essential’ beroperasi – Sulaiman
Ubah saiz-+=