Infaq 200 burger untuk anggota komuniti terkesan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 9 Julai – Sifat mulia dan terpuji ditonjolkan seorang penjual burger di sini apabila menginfakkan 200 burger malam tadi.

Bagi Shahrul Anuar Md Sari, 35, kesukaran yang ditanggung anggota komuniti akibat pandemik COVID-19 wajar diringankan dengan kaedah bersedekah.

Bermula jam 6 petang hingga kira-kira jam 8 malam semalam, Shahrul Anuar dan tiga pembantunya menyiapkan burger itu untuk disedekahkan kepada orang ramai yang hadir di gerainya di Taman Bidara Jaya, Tanjung Bidara di sini.

Daripada burger ayam hinggalah burger daging yang dilapiskan dengan telur, peniaga terbabit bertungkus-lumus menyiapkan bahan makanan itu bagi memastikan orang ramai tidak pulang hampa.

 

ORANG ramai menunggu untuk mengambil burger disedekahkan Shahrul Anuar.

 

Shahrul Anuar berkata, inisiatif itu diambil selepas menyaksikan anggota komuniti terkesan pandemik kehilangan sumber pendapatan, selain dipotong gaji kerana tidak bekerja penuh sebulan.

“Rezeki diberikan Allah harus dikongsikan bersama-sama anggota masyarakat supaya kita memahami erti kesusahan ditanggung rakan dan jiran berikutan pandemik yang membimbangkan itu.

“Alhamdulillah, Allah berikan saya rezeki lebih dan saya kongsikan dengan penduduk taman dan masyarakat luar semata-mata kerana kita sayang akan sesama insan,” katanya di gerai itu malam tadi.

SHAHRUL ANUAR menyerahkan burger kepada Arif Mohamad di Taman Bidara Jaya, Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Dia berkata, lokasi gerainya di hadapan deretan kedai di taman itu amat strategik untuk menarik kehadiran orang ramai yang ingin
menikmati keenakan burger ayam dan daging.

Seorang penduduk, Arif Mohamad 16, berkata, dia hadir di gerai berkenaan sejak jam 6 petang bagi mengelak terlepas peluang menikmati burger daging kegemarannya

“Alhamdulillah, saya doakan Allah memurahkan rezeki Abang Shahrul dan semoga dia bermurah hati bersedekah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Zulkifli Mohd Ali, 25, berkata dia teruja untuk mendapatkan burger itu bagi dinikmati bersama isteri dan tiga anaknya yang menggemarinya.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, kilang tempat saya bekerja terpaksa ditutup sementara dan saya
kehilangan pendapatan tetapi syukurlah ada peniaga yang berhati mulia seperti Anuar yang bersedekah,” katanya.

Dia berkata, untuk menampung ketiadaan pendapatan sepanjang PKP 3.0, dia terpaksa mengambil upah memotong rumput penduduk sekitar Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

585
Kongsi :
Previous post Cari pendekatan baharu cipta tawaran untuk pelancong wanita
Next post ‘Kanak-kanak’ balas budi 40 tahun lalu
Ubah saiz-+=