‘Kanak-kanak’ balas budi 40 tahun lalu

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDAR MELAKA 9 Julai – Seorang ibu tunggal tidak menyangka kanak-kanak lelaki yang ditolong datuknya kira-kira 40 tahun lalu kerana tiada wang untuk membeli beras, hari ini tampil membantunya pula.

Kanak-kanak dimaksudkan ialah Datuk Nor Azman Hassan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor dan  juga ahli perniagaan berjaya.

Irene Lau Wei Li, 43, yang menderita penyakit bisul di kaki sejak empat tahun lalu dan kehilangan pekerjaan terharu ada pihak menghulurkan bantuan ketika dia amat memerlukannya.

NOR AZMAN bertanya sesuatu kepada Wei Li dan dua anak lelakinya ketika menyampaikan sumbangan wang tunai dan kit makanan kepada keluarga terbabit.

Sehubungan itu, dia amat berterima kasih kepada Nor Azman, 57, yang menghulurkan wang tunai dan kit makanan untuk dia dan dua anak lelaki berusia 14 dan 15 tahun.

Hidup dengan bergantung pada simpanan yang semakin menyusut apatah lagi selepas ditinggalkan suami, menyebabkan Wei Li dan anak terpaksa bergantung harapan pada ibu bapa dan adik lelakinya.

Wei Li berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual kenderaan empat tahun lalu akibat kakinya diserang bisul serius yang menyebabkan jari kelingking kaki kiri dan jari manis kaki kanan terpaksa dipotong.

“Adik lelaki membenarkan kami tinggal di rumah yang dibelinya sementara dia tinggal di Tangga Batu tetapi dia menghadapi kesukaran menjelaskan ansuran bulanan RM800 kerana tidak dapat berniaga akibat PKP 3.0,” katanya ketika menerima kunjungan Nor Azman di kediamannya di Taman Pokok Mangga, di sini hari ini.

Nor Azman hadir bersama bapa Wei Li, Lau Peng Chai, 72, untuk menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Sementara itu, Nor Azman berkata, ketika zaman kanak-kanaknya, dia sering membeli barangan makanan di kedai datuk Wei Li, Lau
Kiat yang sudah meninggal dunia di pekan Tangga Batu, Tanjung Kling walaupun dalam keadaan tanpa wang.

“Ayah saya hanya kerja kampung, dia suruh saya ke kedai runcit Lau Kiat untuk membeli beras dan tauke kedai itu tidak pernah tidak mengizinkan kami mengambil beras walaupun hutang lama belum berbayar.

“Saya masih ingat bagaimana saya ke kedai itu tanpa membawa sesen pun tetapi tetap dapat membawa pulang beras dan barang makanan yang lain,” katanya.

Nor Azman yang juga ahli perniagaan industri minyak dan gas berkata, selepas berpuluh tahun, Allah memusingkan roda kehidupan dengan memurahkan rezekinya untuk membantu Wei Li sebagai mengenangkan budi dan jasa datuknya.

Katanya, dia berasa lega berpeluang membantu keluarga Peng Chai yang tinggal di pekan Tangga Batu, termasuk Wei Li yang tinggal di Pokok Mangga, kira-kira 20 kilometer dari Tangga Batu.

Selain Wei Li, dia turut menghulurkan sumbangan kepada anggota komuniti dalam DUN Pantai Kundor, terutama mereka yang terkesan dengan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post Infaq 200 burger untuk anggota komuniti terkesan COVID-19
Next post Pautan 22 institusi tawar moratorium
Ubah saiz-+=