Melaka perincikan manfaat Kad Peduli Sihat biarpun dihentikan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TABOH NANING 24 Julai – Kerajaan negeri sedang memperincikan manfaat Kad Peduli Sihat walaupun inisiatif terbabit terpaksa dihentikan sebaik diumumkan pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembanguan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, pihaknya akan berbincang bersama kerajaan negeri sama ada akan meneruskan inisiatif terbabit atau tidak disebabkan kekangan yang dihadapi kerajaan bagi menyalurkan peruntukan terhadap inisiatif terbabit.

Jelasnya, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan tinggi disebabkan inisiatif itu sedangkan masih banyak inisiatif lain yang perlu diwujudkan bagi membantu kebajikan dan melaksanakan bantuan lain yang memerlukan saluran peruntukan.

“Kebanyakan kes-kes sebelum ini, penerima kad mengambil manfaat mendapatkan perkhidmatan hospital swasta dengan menggunakan kad terbabit dan kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi untuk pesakit sedangkan kita punyai perkhidmatan hospital kerajaan.

“Bajet yang tinggi ini sebenarnya banyak perkara lain yang perlu kita tumpukan dengan bantuan-bantuan lain yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

“Titik asalnya, kita perlu menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan yang juga punyai ramai kepakaran dari doktor bertauliah, perkara ini sebenarnya ramai yang mahukan tindakan perkhidmatan segera dari swasta tanpa perlu menunggu jika pergi ke hospital kerajaan.

“Jadi, ia dilihat tidak relevan sedangkan peruntukan itu boleh digunakan kepada perkara lain seperti menambah jumlah bantuan susu formula mahupun lampin pakai buang dewasa serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Pejabat Japerun Taboh Naning, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, kajian terperinci itu akan dilaksanakan segera bagi mencari penyelesaian lain untuk menyambung semula inisiatif tersebut.

“Perkara ini akan dinilai semula oleh kerajaan negeri kerana perkara kebajikan lain juga perlu diambil kira demi memastikan peruntukan itu disalurkan ke jalan yang betul.

” Malah, hari ini kita perlu memastikan peruntukan kerajaan benar-benar digunakan dengan sewajarnya lebih-lebih lagi dalam keadaan negara mengalami kegawatan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Views:

408
Kongsi :
Previous post Premis kilang dibenar anjur solat Aidiladha buat pekerja asing
Next post ‘Bukit St Paul bukan nama asal, sila rujuk Sulalatus Salatin’ – INSWA
Ubah saiz-+=