‘Bukit St Paul bukan nama asal, sila rujuk Sulalatus Salatin’ – INSWA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 25 Julai – Dakwaan pihak tertentu yang meragui nama Bukit Melaka sebagai nama asal Bukit St Paul boleh dibidas melalui catatan di dalam Sulalatus Salatin atau buku Sejarah Melayu.

Menurut Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (INSWA), Nurman Mohd Baroldin nama Bukit Melaka memang sudah tercatat di dalam kitab sejarah penting itu sejak sekian lama, justeru ia tidak seharusnya dipersoalkan mana-mana pihak.

Tambahnya, jika apa yang tertulis dalam buku sejarah lama itu tidak mencukupi, nama Bukit Melaka juga boleh dibuktikan melalui catatan yang ditulis oleh seorang penulis Portugis bernama Eredia.

“Eredia di dalam catatannya memang menulis bukit tersebut dengan nama Hills of Malacca, jadi secara tidak langsung nama itu merujuk kepada Bukit Melaka. Jadi di mana isunya?

“Ikutkan sewaktu penjajahan Portugis, nama Bukit Melaka masih dikekalkan sehinggalah era penjajahan Belanda nama bukit itu ditukar kepada nama Bukit St Paul.

“Dan kemudian bila masuk era British, nama itu ditukar kepada Bukit Bendera sehinggalah apabila kita mencapai kemerdekaan, nama Bukit St Paul digunakan kembali,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, nama berkenaan sepatutnya dikembalikan sewaktu negara mencapai Kemerdekaan, namun disebabkan faktor terlepas pandang, perubahan itu tidak berlaku.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan tetap memberi sokongan penuh kepada cadangan yang diusulkan PERZIM bagi mengembalikan nama Bukit St Paul kepada pemilik asalnya iaitu Bukit Melaka.

Menurutnya, isu berkenaan mula menjadi hangat apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh untuk menimbulkan api kemarahan segelintir rakyat negeri ini.

“Bagi saya, cadangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk membuat usul menukar nama itu memang tidak salah sama sekali, tetapi disebabkan ada pihak cuba memutir-belitkan isu ini, ia sudah disalah tafsir.

“Sekarang seolah-olah isu ini sudah jadi isu politik, isu keagamaan dan isu bangsa bila ia disuntik dengan elemen emosi oleh pihak tertentu. Ini sangatlah menyedihkan.

“Saya mencabar agar setiap isu sejarah dilawan dengan fakta sejarah dan bukannya dengan emosi seperti melancarkan petisyen yang ada sekarang dan ia diburukkan lagi apabila ada yang cuba membawa isu ini ke pengetahuan media luar negara,” ujarnya.

Views:

681
Kongsi :
Previous post Melaka perincikan manfaat Kad Peduli Sihat biarpun dihentikan
Next post Penduduk Batang Melaka sebak terima ziarah ADUN Asahan
Ubah saiz-+=