Ladang tutup: Bekalan ayam di Melaka tidak terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Penutupan sebuah ladang ayam terbesar Melaka selama dua hari dijamin tidak akan menjejaskan bekalan ayam di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, stok ayam masih lagi mencukupi memandangkan terdapat banyak pengeluar dan penternak tempatan yang mampu menampung bekalan ayam bulat di pasaran.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak panik mengenai isu penutupan tersebut kerana stok ayam tidak akan terjejas.

“Saya sarankan kepada pengguna di luar sana agar tidak membeli ayam dalam kuantiti yang banyak (stock pile) kerana ia dikhuatiri akan memberi kesusahan kepada pengguna lain yang juga mahu membeli ayam.

“Terutamanya dalam musim perayaan ini yang mana ayam mentah amat diperlukan, jadi jangan panik kerana kita tidak berdepan sebarang masalah.

“Lagipun, Melaka masih mempunyai banyak pengeluar dan penternak ayam tempatan yang mampu menampung bekalan di pasaran,” katanya.

NORENA dan Hee Sem memberikan sumbangan kepada anak-anak terpilih pada Program Pengguna Bestari, Sentuhan Kasih Aidilfitri di Hotel Ames

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pengguna Bestari, Sentuhan Kasih Aidilfitri di Hotel Ames, hari ini, yang turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem.

Mengulas mengenai dakwaan bakal berlaku protes dalam kalangan penternak dan pengeluar ayam, Norena berkata, perkara itu sama sekali tidak berlaku di negeri ini.

Katanya, notis penutupan dua hari oleh pengeluar ayam terbesar di negeri ini bukanlah disebabkan tanda protes sebaliknya ia disebabkan isu ketumbuhbesaran ayam.

“Kita di pihak KPDNHEP memang pergi sendiri ke ladang mereka semalam (18 Mei) dan melihat sendiri fizikal ayam ternakan yang kurang daripada sepatutnya iaitu sekitar 1.1 hingga 1.2 kilogram (kg) yang mana ia tidak sesuai untuk dijual dan kita telah ambil maklum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Ab Rauf kekal Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka – sumber
Next post DAKEN pacu industri seni budaya negara
Ubah saiz-+=