Rombakan tidak jejas kem sepak takraw negara

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Ogos – Rombakan besar-besaran kem sepak takraw negara diyakini tidak akan menjejaskan persiapan untuk Sukan Sea dan Sukan Asia tahun depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, rombakan itu akan dilakukan seawal yang mungkin bagi membolehkan pemain terpilih segera menyertai program yang telah dirancang sebelum temasya sukan itu nanti.

“Buat masa ini, saya belum dapat berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai rombakan itu kerana pengarahnya masih berada di Birmingham untuk Sukan Komanwel.

“Kita serahkan 100 peratus kepada MSN tentukan tetapi kalau boleh kita minta MSN berbincang juga dengan PSM jika mahu melakukan rombakan atau program baharu untuk sepak takraw.

“Apapun, kita tetap yakin rombakan yang dilakukan tidak akan menjejaskan persiapan Sukan Asia dan Sukan Sea tahun depan kerana kita percaya rombakan baharu itu akan mencerminkan penampilan skuad sepak takraw negara untuk kejohanan mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel La Crista, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Mohd Sumali berkata, rombakan itu tidak semestinya hanya melibatkan pemain, bahkan mungkin turut membabitkan staf kejurulatihan.

Semalam, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) meluahkan hasrat untuk melakukan rombakan besar-besaran membabitkan pemain dan jurulatih skuad negara bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw di Korea Selatan pada November dan Sukan SEA Kemboja, Mei tahun depan.

Ia susulan kualiti dan mutu permainan skuad negara didakwa telah menurun dengan ketara berikutan prestasi hambar pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand, bulan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3636
Kongsi :
Previous post Piala Tun Ali 2022 medan cari pelapis sepak takraw negara
Next post Malam Gala Kota Selatan Vaganza medan karyawan tempatan bangkit
Ubah saiz-+=