‘Nakal’ tapi ada sijil, diploma

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 5 Oktober – Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan setiap pesalah juvana di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu sijil atau diploma apabila mereka bebas nanti.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, pihaknya akan menyediakan satu perancangan pemulihan bagi memastikan setiap penghuni muda dapat merancang masa depan mereka sepanjang tempoh penahanan.

Ia termasuklah mengetahui kecenderungan minat mereka dalam sesuatu bidang sama ada pendidikan atau kemahiran sebelum mereka dibantu sama ada mengikuti program sijil jangka pendek, program sijil bersama Sijil Kemahiran Malaysia atau diploma dan seterusnya di institusi pengajian tinggi.

“Dari aspek kelangsungan pendidikan, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa merangka program sama ada dalam bidang akademik atau persijilan yang mana kita dapat melihat sebahagian penghuni kita kini telah melanjutkan pengajian orang di peringkat tertinggi.

“Baru-baru ini, kita juga telah memeterai kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menaja 25 pesalah muda mengikuti Diploma Keusahawanan, selain kita juga mempunyai 50 penghuni yang melanjutkan pengajian di Asia College of Exercise Medicine (ACEM) dalam Diploma Diploma Exercise Medicine bagi kohort pertama.

“Insya-Allah semua penghuni yang berada di bawah Jabatan Penjara Malaysia, kita sasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu sijil tidak kiralah sama ada mereka cemerlang dalam akademik ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Dewan Parameswara Sekolah Henry Gurney Telok Mas, hari ini.

Hadir sama Pengarah Penjara Negeri Melaka Timbalan Komisioner Penjara Roslan Mohamed dan Pengarah Sekolah Henry Gurney Telok Mas Penolong Komisioner Penjara Zan Azim Aziz.

Menurut Ajidin, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney seluruh negara merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila berjaya mencapai gred purata 4.57 iaitu di bawah Gred Purata Nasional 4.80.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan bahawa penghuni sekolah di bawah Jabatan Penjara Malaysia mempunyai daya saing yang baik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam akademik, sekali gus berupaya mengubah nasib mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2570
Kongsi :
Previous post Kesiapsiagaan APM tidak terjejas jika PRU musim tengkujuh
Next post APM latih 1.7 juta individu persediaan awal hadapi bencana
Ubah saiz-+=