APM latih 1.7 juta individu persediaan awal hadapi bencana

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 5 Oktober- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya melatih 1.7 juta individu menerusi Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dalam memberi tindak balas awal bagi menghadapi kecemasan, bencana dan peperangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail berkata, Pertubuhan Pertahanan Sedunia menetapkan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara perlu diberikan latihan bagi menghadapi sebarang bencana yang akan berlaku.

“Perkara ini penting kerana banyak negara maju lain sudah mulakan lebih awal, sebab itu sekarang ini APM menerusi CDERT kita tubuhkan di kawasan-kawasan hot spot untuk diberikan latihan dan mereka boleh bertindak balas bila berlaku bencana.

“Di Malaysia kita ada 32 juta penduduk dan 10 peratus daripada itu seramai 3.2 juta yang perlu dilatih dan kini seramai 1.7 juta APM sudah latih. Apabila mereka ini diberikan latihan jadi apabila berlaku bencana mereka boleh bertindak dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perjumpaan Bersama Warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka 2022 yang turut dihadiri Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, hari ini.

photo1664949065
MELAKA 05 OKTOBER 2022. Timbalan Ketua Pesurujaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dr. Norhafifi Ismail mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan YAS Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM Bersama Warga APM Melaka Tahun 2022 di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurut beliau, menerusi CDERT juga ia dapat memupuk semangat bekerjasama dan kesedaran dalam kalangan komuniti untuk saling membantu bagi menghadapi bencana yang berlaku dikawasan persekitaran.

“Maknanya fokus kita kepada komuniti apabila berlaku bencana orang awam ini yang akan terkesan jadi menerusi CDERT mereka akan tahu apa yang hendak dilakukan berbanding menjadi kelam kabut seperti yang berlaku di Shah Alam.

“Misalnya apabila lihat air longkang sudah tinggi, penduduk bersama-sama dengan kejiranan dapat bertindak awal untuk bergerak ke kawasan selamat dan secara tidak langsung dapat menjayakan seranan kerajaan iaitu menyelamatkan lebih ramai nyawa serta harta benda ketika bencana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3092
Kongsi :
Previous post ‘Nakal’ tapi ada sijil, diploma
Next post Pelajar cemerlang Sekolah Henry Gurney tangguh hasrat ke menara gading demi adik-adik
Ubah saiz-+=