Lelaki gelang ‘pink’ ke pasar raya

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDAR HILIR 6 Okt. – Padah melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) seorang lelaki ditahan polis selepas dia didapati membeli belah bersama keluarga di sebuah pasar raya di sini, malam tadi.

Tindakan lelaki berusia 43 tahun itu yang memakai gelang merah jambu disedari pengunjung sebelum melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan polis ke pasar raya berkenaan kira-kira jam 9.30 malam sebelum tangkapan dibuat.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama seorang wanita yang juga isterinya selain memaklumkan suaminya adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

“Pemeriksaan kemudian mendapati lelaki terbabit dalam tempoh kuarantin dari 30 September hingga 15 Oktober selain dia turut memberitahu belum membuang saringan COVID-19 kali kedua.

“Malah ketika diminta mengemukakan surat pelepasan perintah kuarantin dari KKM dia gagal berbuat demikian

“Dan lelaki terbabit dikenalpasti sebagai kontak terdekat seseorang yang didapati positif COVID-19,” katanya.

Menurut beliau, lelaki terbabit kemudian ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Peraturan 11(1) PPPB.

“Bagaimanapun dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sehingga tamat tempoh kuarantin.

“Siasatan akan dilengkapkan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Views:

586
Kongsi :
Previous post Melaka United, Pahang diberi lesen kelab kebangsaan bersyarat
Next post CDC maklumkan COVID-19 sesekali boleh tersebar melalui udara
Ubah saiz-+=