SPST tingkat mutu pengangkutan awam Melaka – Panorama Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 3 Mac – Peruntukan bagi memperluas Program Transformasi Bas Henti-Henti (SPST) di Melaka diyakini bakal meningkatkan mutu pengangkutan awam kepada rakyat negeri ini.

Pengurus Besar Panorama Melaka Rohazam Abu Bakar berkata, peruntukan RM150 juta kepada Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu seperti diumumkan pada Belanjawan 2023 itu amat disambut baik pihaknya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Jelasnya, menerusi peruntukan tersebut, Panorama Melaka dapat merealisasikan hasrat menambah bilangan bas, meningkatkan frekuensi laluan dan seterusnya memendekkan tempoh masa menunggu.

“Menerusi belanjawan ini juga, Panorama Melaka bakal menyediakan perkhidmatan Bas Elektrik yang dijangka beroperasi di kawasan Bandar Melaka (First Mile Last Mile) dan laluan Ayer Keroh ke Terminal Melaka Sentral.

“Ini akan menyokong kepada elemen bandar rendah karbon yang sering diangkat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada masa sama, Panorama Melaka dan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah mengenal pasti beberapa lagi laluan baru yang akan beroperasi berdasarkan ‘ridership’ dan kekerapan penumpang yang tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

panoram
Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd. Rohazam Bakar

Mengulas lanjut, Rohazam berkata, dalam memastikan perkhidmatan bas henti-henti masih relevan di negeri ini, Panorama Melaka yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri di bawah Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Yayasan Melaka akan mengadaptasi penggunaan teknologi dan digitalisasi.

Ia dilakukan menerusi aplikasi pintar ‘Real Time Journey Planner’ dan sistem tanpa tunai (cashless) bagi membantu penumpang merancang perjalanan dan membuat pembayaran yang lebih efektif serta berkesan.

Katanya lagi, bagi tahun tahun 2023 juga, terdapat beberapa perancangan yang akan dijalankan secara Prove of Concept (POC) bagi menyokong dan menjadi nilai tambah kepada perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini.

“Diharapkan, semua ini akan menjadi titik mula mengubah perkhidmatan bas henti-henti ke arah yang terbaik dan seterusnya merealisasikan perancangan yang terkandung di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2023 (PSMJ2023),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1544
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka melebihi 200 orang
Next post Pahang hantar bantuan banjir kepada Johor
Ubah saiz-+=