#MyMudah dijangka dapat bantu ringankan beban peraturan perniagaan Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Okt. – Program #MyMudah kerajaan dijangka dapat membantu perniagaan dalam menangani peraturan tidak perlu dan membebankan yang menjadi penghalang ke atas pemulihan dan pertumbuhan mereka dalam iklim ekonomi semasa yang mencabar akibat krisis kesihatan COVID-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong berkata #MyMudah akan membantu mengurangkan kos pematuhan peraturan untuk perniagaan dan membolehkan mereka melabur dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk merangsang ekonomi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong

“Melalui inisiatif itu, penggubal dasar, pengawal selia atau badan pengatur digalakkan untuk sama ada memansuhkan, mengkaji semula dan mengenepikan peraturan tertentu buat sementara atau tetap jika didapati membebankan perniagaan dan menghalang pertumbuhan ekonomi mereka.

“Saya tidak sabar untuk melihat lebih banyak masalah diselesaikan di bawah inisiatif #MyMudah kerana ini akan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan bagi industri tempatan dan mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak dilancarkan pada 20 Julai, 2020 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sebuah agensi di bawah MITI, 300 isu telah dikemukakan oleh perniagaan melalui portal Unified Public Consultation (UPC).

Daripada jumlah itu, 58 peratus isu adalah berkenaan perkhidmatan, 22 peratus mengenai dasar kerajaan, sembilan peratus (pembinaan), tujuh peratus (pertanian), tiga peratus (pembuatan) dan tiga peratus perlombongan dan kuari.

Sementara itu, Lim berkata MPC juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk terlibat dengan perniagaan di Malaysia.

Sebanyak 41 perbincangan Meja Bulat Perniagaan Secara Maya dan mesyuarat dalam talian telah dijalankan untuk mengenal pasti masalah peraturan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan Malaysia.

Di samping itu, 47 syarikat telah mengambil bahagian dalam Klinik Penasihat Maya Peraturan Perniagaan.

Melangkah ke hadapan, Lim berkata MITI melalui MPC akan meningkatkan usaha untuk menangani dan menyelesaikan pelbagai isu industri yang disalurkan melalui Portal UPC.

“Kami juga ingin menjemput perniagaan dan pihak berkepentingan utama lain untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mengurangkan beban peraturan dengan berkongsi pendapat mereka mengenai isu peraturan yang tidak produktif,” tambah Lim.-BERNAMA

Views:

594
Kongsi :
Previous post Para pemimpin APEC bertemu secara maya pada 20 November
Next post MBMB tanggung kos rawatan kecederaan
Ubah saiz-+=