AADK Melaka perkasa saringan dadah di tempat kerja, sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 28 Sept. – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka bakal memperkasakan program ‘Tempat Kerja Bebas Dadah’ dengan melakukan saringan air kencing di agensi kerajaan dan swasta.

Pengarah AADK Melaka Nazir Mohamad berkata perkara itu perlu dilakukan dalam usaha membendung ketagihan dadah di negeri ini yang kian membimbangkan dari tahun ke tahun.

Menurutnya, bukan sahaja agensi kerajaan dan swasta, bahkan pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan program berkenaan ke sekolah-sekolah terutama di kawasan berisiko tinggi (KBT).

“Kita sasarkan untuk memasuki sekurang-kurangnya 15 agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini sehingga hujung tahun nanti. Bukan kerajaan sahaja, tetapi kita juga bercadang untuk masuk ke syarikat swasta dan sekolah-sekolah secara tahunan.

“Jadi kita seru kepada ketua-ketua jabatan dan syarikat untuk bekerjasama dengan kita bagi menjayakan program ini.

“Tujuan kita, bukan untuk mencari keburukan pekerja, tetapi ia lebih kepada intervensi atau pencelahan yang mana apabila pekerja atau pelajar tahu AADK nak masuk ke tempat kerja, mereka akan takut dan tidak lagi mengambil dadah atau bahan terlarang,” katanya dalam wawancara khas bersama media baru-baru ini.

Menurut Nazir, sepanjang 2020, pihaknya sudah memasuki 19 agensi kerajaan untuk menjalankan saringan air kencing dan hasilnya, enam penjawat awam negeri ini didapati positif dadah.

Menurutnya, hasil ujian mendapati keenam-enam mereka positif dadah jenis syabu dan perkara itu telah dilaporkan serta tindakan sudah diambil oleh ketua jabatan.

Selain itu beliau berkata, seramai lapan pekerja swasta merangkumi pekerja di sebuah tempat pelancongan, penarik beca dan pengawal keselamatan juga dikesan positif dadah selepas menjalankan saringan ke atas 397 pekerja dari 17 buah syarikat.

Manakala, di peringkat sekolah pula, pihaknya sudah menyaring seramai 554 pelajar sekolah menengah di kawasan berisiko tinggi yang mana enam daripada mereka dikesan positif dadah jenis syabu.

Views:

441
Kongsi :
Previous post KM saran lebih ramai kaum bukan Melayu sertai Askar Wataniah
Next post FAM tangguh Piala Tun Sharifah Rodziah ke tahun hadapan
Ubah saiz-+=