KM saran lebih ramai kaum bukan Melayu sertai Askar Wataniah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 28 Sept. – Lebih ramai kaum bukan Melayu disaran untuk menyertai Askar Wataniah bagi mengukuhkan barisan pertahanan negara itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata Rejimen 514 Askar Wataniah di Kem Bukit Beruang mempunyai kira-kira 3,000 pegawai dan anggota berkhidmat secara sukarela dengan pasukan itu, namun yang aktif berkhidmat adalah kira-kira 1,000 orang.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 95 peratus adalah anggota sukarela dalam kalangan kaum Melayu manakala selebihnya adalah kaum bukan Melayu.

Jelasnya, rejimen itu mensasarkan untuk mencapai 10 peratus penglibatan kaum bukan Melayu yang setakat ini lima peratus sahaja disertai lain-lain kaum itu.

“Saya melihat penglibatan dari kaum lain agak berkurangan, jadi saya harap dan menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk menyertai Askar Wataniah.

“Kekuatan pasukan ini jikalau dirangkumi dengan pelbagai kaum, saya yakin Askar Wataniah bertambah hebat, justeru semua kaum termasuk Cina dan India untuk menyertai pasukan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 300 pegawai dan anggota Askar Wataniah yang terbabit dalam Operasi Penawar Covid-19 serta 50 anggota tamat Kursus Asas perajurit muda sukarela siri 2/2020 di Kem Bukit Beruang di sini, hari ini.

Hadir sama, Komander Artileri Divisyen, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Noor Sazali Puteh; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW)) negeri Datuk Seri Dr. Hasim Hasan; Pemerintah Garison Gemas Kolonel Che Manan Saad dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah Brigedier Jeneral Datuk Yusof Jantan.

Mengulas lanjut, Sulaiman turut menyeru pengamal media di negeri ini turut serta menyumbangkan tenaga dengan menyertai pasukan itu.

Beliau berkata, kursus serta latihan yang digariskan pada tahun ini akan meningkatkan tahap kompetensi serta membentuk angkatan sukarela yang kredibel serta mempunyai tahap kesiagaan yang tinggi.

“Bagi pihak kerajaan negeri, ucapan terima kasih diucapkan kepada Askar Wataniah kerana telah berjaya menjadi antara faktor penyumbang kepada Negeri Melaka, salah satu negeri terbaik dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Views:

462
Kongsi :
Previous post Saringan Covid-19 di KLIA sesak: KKM tambah petugas, peralatan
Next post AADK Melaka perkasa saringan dadah di tempat kerja, sekolah
Ubah saiz-+=