FAM tangguh Piala Tun Sharifah Rodziah ke tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan menangguhkan edisi ke-33 Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Tun Sharifah Rodziah pada November ini ke tahun hadapan, susulan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob berkata keputusan itu terpaksa diambil oleh badan induk berkenaan setelah mengambil kira kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat dengan kejohanan itu.

“Saya pasti pemain serta aktivis bola sepak wanita di negara ini kecewa dengan perkembangan terbaharu ini. Begitu juga saya, yang sangat mengharapkan agar bola sepak wanita dapat dimainkan semula selepas terhenti lama akibat pandemik COVID-19 sejak awal tahun 2020,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan FAM, hari ini.

Suraya, yang juga ahli jawatankuasa bola sepak wanita Konfederasi Bola Sepak Asia, pada masa sama, optimis aktiviti bola sepak wanita di negara ini akan kembali rancak pada tahun hadapan menerusi peruntukan tambahan disalurkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada bola sepak wanita di peringkat global.

Kejohanan itu mula diperkenalkan pada 1976 dengan nama Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri, adalah cetusan idea isteri Perdana Menteri pertama, Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, yang juga Presiden Persatuan Bola sepak Wanita Malaysia (PBWM) ketika itu.

Sabah adalah juara kejohanan itu sebanyak 11 kali iaitu pada 1988, 1991, 1992, 1993, 1994, 1995, 1996, 1997, 1998, 2003 dan 2004.

Dalam pada itu, Suraya memaklumkan FAM akan menganjurkan kursus sijil kejurulatihan Lesen D Wanita FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 5-9 Okt dan kursus sijil kejurulatihan Lesen C Wanita MSN/FAM di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang dari 5-25 Okt.

— BERNAMA

Views:

326
Kongsi :
Previous post AADK Melaka perkasa saringan dadah di tempat kerja, sekolah
Next post GRS namakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah
Ubah saiz-+=