Ab Rauf dahului penerima Darjah Kebesaran Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendahului senarai 1,042 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

photo1692846890
AB Rauf dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ab Rauf dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat di Seri Negeri, hari ini.

Ia diikuti Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@ Abd. Rasid yang dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat yang diadakan sebanyak tiga sesi bermula hari ini (Khamis), Sabtu (26 Ogos) dan Ahad (27 Ogos) menyaksikan seramai 20 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Antara penerimanya ialah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib; Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri Datuk Tajul Razi Abdul Aziz dan Pengarah Southern Generation Sdn Bhd Datuk Norzaity Othman.

Selain itu, seramai 18 penerima lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

photo1692840624 (1)
AB Rauf dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri ketika hadir pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri ke-74 Tahun 2023. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mendahului penerima D.M.S.M ialah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dr. Anasee Ibrahim; Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin; dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts Dr. Massila Kamalrudin.

Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada 208 penerima.

Antaranya ialah Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Kor Armor Diraja Brigedier Jeneral Mohd Fazly Mat Said; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Badaruddin Mohd Kassim; Pegawai Daerah dan Tanah Jasin Rahizi Ranom; Panglima 10 Briged (Para) Mejar Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal dan komposer terkenal tanah air Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan.

Melaka turut menganugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) kepada 62 individu yang telah memberi perkhidmatan dan bakti terpuji kepada Negeri Melaka.

Manakala, seramai 96 penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 205 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 292 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 10 penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12487
Kongsi :
Previous post 17 das tembakan meriam buka tirai istiadat kebesaran Melaka
Next post Melaka laksana 180 inisiatif, 62 peratus telah dicapai – KM
Ubah saiz-+=