17 das tembakan meriam buka tirai istiadat kebesaran Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Sebanyak 17 das tembakan meriam membuka tirai Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2023, hari ini.

Ia adalah bersempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam ke-74.

Terdahulu, Tun Mohd Ali bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman tiba di perkarangan Seri Negeri kira-kira jam 8.45 pagi dan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya dan diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Mohd Ali.

Seramai 103 anggota lain-lain pangkat diiringi tiga pegawai Batalion Keempat Belas Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mekanize), Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan yang diketuai Mejar Muhammad Hanif Hamidi terlibat pada perbarisan kali ini.

Perbarisan itu turut disertai Pegawai Pembawa Panji-Panji, Kapten Muhammad Izzat Muhd Zafri, Sarjan Mejar Rejimen Kawalan Kehormatan, Pegawai Waran 1, Muhd Shamsuhardi A.B. Rahman.

Sementara itu, pancaragam oleh Rejimen Kedua Kor Armor Diraja pula diketuai Sarjan Mohd Taufik Karim.

Istiadat Penganugerahan itu akan berlangsung selama tiga sesi bermula hari ini, dan disambung pada Sabtu dan Ahad.

Antara penerima utama dalam istiadat berkenaan adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mendahului senarai penerima anugerah dengan dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2021
Kongsi :
Previous post ‘Megah anak murid jadi Ketua Menteri’
Next post Ab Rauf dahului penerima Darjah Kebesaran Melaka
Ubah saiz-+=