Ab Rauf hargai sumbangan penderma darah selamatkan nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini memberikan kata-kata semangat dan menghargai sumbangan penderma darah dalam usaha membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Beliau hadir pada program Jom Derma Darah anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka (BDHM) dan JAPERUN Tanjung Bidara, di dewan JAPERUN itu, hari ini.

Sambil berbual mesra dengan penderma, beliau memberikan kata semangat dan berterima kasih kepada mereka kerana sudi menabur budi bagi menyelamatkan nyawa orang lain, sambil diiringi Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman.

Menariknya program itu turut disertai orang kurang upaya (OKU) Shahrul Anuar Abdul Rahim, 39.

Walaupun berstatus OKU akibat kecederaan tulang belakang, dia yang merupakan seorang anggota tentera bersama isteri, Seri Dahlia Khamsin, 37, tetap bersemangat berbakti kepada anggota masyarakat dengan menderma darah buat kali keenam.

Shahrul Anuar berkata, kecederaan akibat terjatuh ketika menjalani latihan tentera pada 2004 mengakibatkan tulang belakangnya cedera.

Shahrul Anuar yang berstatus OKU menderma darah kali keenam di dewan JAPERUN Tanjung Bidara.

“Saya menjalani pembedahan pada 2016 dan setakat ini masih bertugas di Kor Jurutera Letrik dan Jentera DiRaja (JLJ) Kem Terendak, Sungai Udang.

“Alhamdulillah, saya masih berpeluang menyumbangkan sedikit bakti kepada anggota masyarakat dengan menderma darah dan setiap kali berbuat demikian, tubuh semakin sihat,” katanya.

Sementara itu, isterinya Seri Dahlia berkata, dia dan suami bersyukur mampu menabur budi melalui kaedah menderma darah bagi membantu mereka yang dalam kecemasan.

“Saya teruja mengikut langkah suami memberikan sumbangan kepada orang lain dan berharap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini, ada nyawa yang dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Siti Zairah Abdul Rahim, 33, pula meluahkan rasa kecewa kerana tidak layak menderma darah buat pertama kali dalam hidup berikutan paras hemoglobin dalam darahnya hanya 12.1 berbanding syarat paras 12.5 atau lebih untuk melayakkan seseorang wanita menderma darah.

“Saya berhasrat menderma darah untuk pertama kali hari ini tetapi malangnya paras hemoglobin saya tidak mencecah paras yang dikehendaki untuk layak berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, dia tetap berazam untuk menderma darah pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post Ops Gegar Malam: Majikan dikompaun gagal ‘lindungi’ pekerja
Next post Hubungan UMNO, MCA semakin matang selepas tujuh dekad
Ubah saiz-+=