Abd Rahim bersara, Azri pemangku Pengarah JKDNKA Bukit Aman

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 18 Mei. – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar akan bersara wajib esok selepas 35 tahun menyumbang bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

PDRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sehubungan itu, Timbalan Pengarah (Gerakan) JKDNKA Datuk Azri Ahmad telah memangku jawatan Pengarah JKDNKA.

TIMBALAN Pengarah (Gerakan) JKDNKA Datuk Azri Ahmad memangku jawatan Pengarah JKDNKA. Foto Facebook PDRM.

Abd Rahim yang dilahirkan pada 19 Mei 1961 di Pekan, Pahang mula menyertai PDRM sebagai Kadet Asisten Superintendan (ASP) pada 2 Februari 1986.

Setelah tamat latihan Kadet ASP, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu ditugaskan sebagai ASP Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas.

Selain itu, beliau menyandang beberapa lagi jawatan penting antaranya Timbalan Ketua JSJ Terengganu, Timbalan Ketua JSJ Kedah, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan Ketua Polis Kedah.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada 29 Januari 2019 dan mengambil alih jawatan Pengarah JKDNKA pada 9 September 2020.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2096
Kongsi :
Previous post Tiada kompromi pihak salah guna, palsukan dokumen rentas negeri, daerah- KPN
Next post Langgar SOP PKP: Neelofa, keluarga hadir beri keterangan
Ubah saiz-+=