Adegan panas Zul ariffin conteng arang industri hiburan negara

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Mac – Penyanyi lagenda rock terkenal, Datuk Awie menyifatkan tindakan pelakon Zul Ariffin memuat naik video adegan panas sebuah drama sebagai ‘menconteng arang’ kepada industri hiburan tempatan.

Menurutnya, tindakan artis itu tidak bersesuaian dengan industri hiburan tempatan yang berkonsepkan Islam.

“Pada saya, dia (Zul Ariffin) menconteng arang industri tempatan yang berkonsepkan Islam.

“Industri kita tidak berada pada tahap terbuka yang seperti itu (adegan),” katanya.

Beliau berkata demikian sidang akhbar Wings Raikan Cinta Ramadan di LaCrista Hotel Melaka yang turut disertai Pengarah Urusan Hotel LaCrista Datuk Rosthman Ibrahim.

Pelakon terbabit mengundang kontroversi selepas memuat naik video yang memaparkan ‘teaser’ adegan panas sebuah drama sebelum bertindak memadam hantaran tersebut dan membuat permohonan maaf di media sosial.

Ekoran itu, pelakon tersebut bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas membuat hantaran Instagram yang menyalahi undang-undang.

Di bawah seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu kata Awie, insiden yang ditimbulkan oleh pelakon tersebut tidak elok dari sudut agama.

“Saya juga tidak boleh mengatakan dia tidak sepatutnya berbuat demikian kerana saya pun bukan kenal sangat dengan dia.

“Namun jika dibandingkan dengan era tahun 70-an, keadaannya lebih teruk cuma ketika itu tidak ada media sosial, tidak ada viral jadi tidak kecoh seperti yang berlaku sekarang.

“Tetapi kita duduk di bumi Malaysia, insiden seperti itu tidak wajar, kalau nak buat, buatlah di negara asing, ” katanya.

Pada masa yang sama, Awie juga tidak mahu mengulas lanjut insiden itu memandangkan beliau juga pernah melalui proses demikian namun tidak melampau seperti yang timbul ketika ini.

“Saya pun pernah lalui proses itu dimana saya juga pernah berpeluk dengan heroin-heroin saya tetapi tiada lah melampau.

“Kalau boleh selepas ini pengarah drama atau filem, seeloknya elakkan ada watak yang ada unsur fizikal seperti yang ada pada adegan drama tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1147
Kongsi :
Previous post Tunku Ismail pernah salur bantuan kewangan kepada Selangor -Subahan
Next post 10,000 banduan yang layak akan ditempatkan di industri, isi tenaga kerja
Ubah saiz-+=