Adun ‘Perpaduan’ dibenar guna kemudahan Japerun

AYER KEROH 19 Disember – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pakatan Harapan (PH) dibenarkan menggunakan kemudahan Japerun untuk menjalankan perkhidmatannya kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu diberikan selaras dengan prinsip Kerajaan Perpaduan yang ditetapkan di peringkat persekutuan.

“Menerusi Kerajaan Perpaduan ini saya perlu melihat dahulu isyarat atau petunjuk dari peringkat persekutuan dahulu sebab seperti mana yang saya sebutkan sebelum ini Kerajaan Negeri Melaka kita masih kekal seperti sedia ada.

“Tetapi seperti mana yang saya maklumkan kepada rakan-rakan perpaduan ini mereka boleh menggunakan Japerun yang sedia ada untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menggunakan kakitangan yang sedia ada di japerun-japerun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2022 dan Majlis Pencapaian Setahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ketua-ketua jabatan serta agensi.

Sementara itu, Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran yang diberikan Ketua Menteri itu.

“Kami pun masih menunggu arahan pusat dan menerusi usaha ini untuk pengggunaan premis atau berkongsi Japerun kami amat alu-alukan perkara ini demi kebaikan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, menerusi pertemuan bersama Kerajaan Negeri sebelum ini perkara itu (urusan Japerun) tidak dibincangkan namun perbincangan itu lebih kepada isu-isu besar seperti banjir dan sebagainya.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Negeri walaupun tidak pernah menuntut apa-apa kelebihan atau perjawatan dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Kalau Kerajaan Negeri mahu berkongsi fasiliti Japerun kepada kami itu terserah kepada kerajaan negeri malah kita tidak pernah menuntut apa apa kelebihan dalam kerajaan perpaduan.

“Namun apa yang dibincangkan sebelum ini hanyalah isu berkaitan banjir, kedudukan ketua pembangkang dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1808
Previous post 2023 jadi tahun pencapaian – Sulaiman
Next post Kerajaan Negeri tidak pernah lupa salur sumbangan setiap kali perayaan