Kerajaan Negeri tidak pernah lupa salur sumbangan setiap kali perayaan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 19 Disember – Mana-mana golongan yang memerlukan tanpa mengira agama di Melaka tidak pernah dilupakan untuk menerima sumbangan bagi persediaan menyambut perayaan.

Berikutan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata hari ini Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan Hari Krismas kepada seramai 200 penerima yang akan meraikan perayaan itu pada 25 Disember ini.

“Seperti biasa setiap kali perayaan tidak mengira anutan agama, kita tidak pernah melupakan rakyat di negeri ini khususnya bagi mereka yang memerlukan.

“Apa saja bentuk sumbangan terutamanya dalam sesuatu perayaan kita raikan supaya mereka tidak merasa ketinggalan dalam meraikan hari kebesaran, kita akan terus memberi sumbangan kepada yang layak.

“Hari ini kita menyampaikan sumbangan kepada mereka yang menganut agama Kristian melibatkan 200 penerima iaitu seramai 95 penerima dari Melaka Tengah, 63 Alor Gajah dan 42 penerima dari Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Krismas Tahun 2022 di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam.

WhatsApp Image 2022-12-19 at 2.14.34 PM
SEBAHAGIAN penerima sumbangan yang hadir pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir Exco Negeri Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanuddin Bachik dan lain-lain kenamaan.

Semua penerima sumbangan itu terdiri daripada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ibu tunggal yang mempunyai tanggungan.

Ujarnya, di Melaka mempunyai kepelbagaian kaum yang sentiasa bersatu dan sentiasa menjaga kesejahteraan antara satu sama lain.

“Kita ada macam-macam kaum di Melaka, justeru keharmonian yang ada perlu dijaga sebaik mungkin supaya kita dapat wariskan kepada anak cucu di masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1666
Kongsi :
Previous post Adun ‘Perpaduan’ dibenar guna kemudahan Japerun
Next post Bomba nafi beri kebenaran orang awam, sukarelawan sertai SAR tanah runtuh
Ubah saiz-+=