Agih baki dana fidyah kepada golongan B40

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT PALAH 1 Oktober – Kerajaan Negeri bercadang mengagihkan baki kutipan fidyah tahun lalu berjumlah RM1.202 juta kepada umat Islam tergolong dalam kumpulan B40.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagi tahun lalu hasil kutipan fidyah Melaka adalah berjumlah RM2.342 juta.

Rahmad berkata, memandangkan baki terkumpul bagi dana kutipan fidyah masih berada pada amaun yang tinggi, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan beberapa siri progra bermanfaat demi kemaslahatan umat Islam di Melaka.

“Seperti tahun sebelumnya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hanya mengagihkan wang fidyah kepada golongan fakir miskin yang berdaftar dengan MAIM, sementara itu serahan wang kepada mereka terkesan akibat COVID-19 turut dilaksanakan menerusi Japerun.

“Justeru pada tahun ini, MAIM merancang program pengagihan dana fidyah kepada golongan yang lebih memerlukan agar bantuan ini dapat disalurkan sebaik-baiknya kepada semua golongan yang berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Penutup Dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1445H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023M, di Dataran Pusat Islam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Menurut Rahmad, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, Zakat dan Baitulmal, MAIM Bil.1/2023 yang bersidang pada 23 Februari lalu telah meluluskan penggunaan dana fidyah sebanyak RM400,000.

“Ia turut membabitkan bantuan RM150 seorang yang disalurkan kepada 70 pelajar daripada 14 buah sekolah dengan jumlah peruntukan RM147,000.

“Manakala RM250,000 pula diperuntukkan untuk bantuan kepada 100 orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi tempoh 10 bulan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1431
Kongsi :
Previous post Suspek tikam mati isteri direman tujuh hari
Next post LTAM: 7 syarikat penerbangan beri keputusan hujung Oktober
Ubah saiz-+=