Agong berkenan lancar Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA KUBU BHARU, 9 Sept – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melancarkan kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu hari ini.

Pelancaran kitab itu disempurnakan Al-Sultan Abdullah dalam Majlis Lawatan Kerja baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini.

Jakim dan Rimbunan Islamik Media Sdn Bhd dalam kenyataan bersama memaklumkan antara kelebihan cetakan terbaharu itu ialah ia merupakan satu-satunya kitab tafsir yang lengkap diterbitkan oleh Jakim, karya terjemahan oleh penulis tempatan yang berkelayakan dan diiktiraf, serta saiz yang lebih besar dan mesra pembaca berbanding versi asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad ketika menyampaikan sembah ucapan aluan berkata sesuai dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan teras-teras dalam ilmu tafsir serta tadabbur al-Quran serta berpandukan pandangan alim ulama dalam negara sebagai rujukan, kitab itu sewajarnya diangkat menjadi rujukan rasmi umat Islam di Malaysia.

“Semoga umat Islam di negara in akan terus memahami serta menghayati ayat-ayat al-Quran melalui penerbitan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu ini,” katanya.

Terdahulu, pasangan diraja itu berangkat tiba di institut pengajian al-Quran berkenaan pada 9 pagi diiringi Idris dan Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Majlis lawatan itu dimulakan dengan bacaan al-Quran, disusuli sembah ucapan aluan oleh Idris, diikuti sembah taklimat Pengarah Darul Quran Mohamad Kori Jusoh, persembahan nasyid dan pelancaran tafsir pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu oleh Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melawat bilik kuliah dan beramah mesra dengan kakitangan serta pelajar institut pengajian itu, sebelum berkenan mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar Darul Quran Jakim daripada golongan asnaf.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Dua bot rekreasi ditahan tiada lesen
Next post Remaja perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Balau
Ubah saiz-+=