Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga mendiang Sathianathan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak tanah air,” menurut hantaran itu.

Sathianathan merupakan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dari 2007 hingga 2009.

Mendiang pernah membimbing skuad Bawah 23 (B-23) negara dari 2006-2008 dengan kejayaan menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan menjadi naib juara pada 2008.

Selain itu, mendiang juga pernah membawa pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010 selain membimbing pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United menjuarai Liga Perdana, masing-masing pada 2012 dan 2018.

Sathianathan juga adalah bekas pemain Negeri Sembilan dan pernah menjadi jurulatih pasukan Selangor dan Sarawak United.

Mendiang juga pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017).

Sathianathan, 65,  meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1.25 tengah hari semalam.

Mendiang meninggalkan isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan. 

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1246
Kongsi :
Previous post Anugerah Fatimah Az-Zahra, kategori baharu diperkenalkan
Next post Polis tahan empat lelaki, madrasah tahfiz jadi tempat simpan ketum
Ubah saiz-+=