Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Tun Abang Muhammad Salahuddin

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang meninggal dunia malam tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Abang Muhammad Salahuddin ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada Negeri Sarawak serta negara.

Abang Muhammad Salahuddin, 100, yang merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah di Kuching, Sarawak akibat sakit tua.

Lahir pada 27 Ogos 1921, beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

762
Kongsi :
Previous post Tiada tanda harga ‘pink’, peniaga akan dikompaun – EXCO
Next post Malaysia, Savola Group Arab Saudi meterai MoU tingkat eksport minyak sawit
Ubah saiz-+=