Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 18 Nov –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Melaka Datuk Seri Abdul Ghafar Atan yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Abdul Ghafar dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham terutamanya kepada negeri Melaka,” demikian menurut catatan tersebut.

Abdul Ghafar, 65, membuat penampilan pertama sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada 2004 dan seterusnya mempertahankan kerusi itu pada PRU ke-12 pada 2008.

Pada PRU ke-13 Allahyarham bertanding di DUN Asahan dan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU ke-14 selain pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

794
Kongsi :
Previous post Tidak tahu diserang angin ahmar, lelaki tunggang motosikal 8km
Next post Kos tunai haji dimuktamad Kabinet – Idris
Ubah saiz-+=