Ah long dicekup tawar pinjaman lebih RM300,000

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 17 Dis. – Tindakan seorang lelaki yang juga ah long yang menjalankan pinjaman wang haram sejak empat tahun lalu akhirnya membawa padah apabila dia dicekup dalam sebuan di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, di sini, Ahad, lalu.

Serbuan kira- kira jam 9 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Alor Gajah.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan dirumahnya selain turut ditemui 626 dokumen berkaitan urusan pinjaman wang.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai menjadikan kediamannya itu sebagai pusat operasi kegiatan pinjaman wang haram.

“Kesemua dokumen yang ditemui itu membabitkan urusan pinjaman dengan jumlah lebih RM300,000 dan wang tunai berjumlah RM15,000.

“Antara individu yang membuat pinjaman dengan suspek termasuk ibu tunggal dan suri rumah yang ingin mendapatkan modal perniagaan kecil- kecilan serta mereka yang tidak layak membuat pinjaman bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Shahrul Lalli berkata, suspek dipercayai menjalankan pinjaman wang antara RM500 hingga RM5,000 dan mengenakan faedah bulanan antara enam hingga 11 peratus.

“Dalam serbuan itu turut dirampas telefon bimbit pelbagai jenama, 52 buku akaun bank, 51 keping kad pinjaman wang dan sebuah kereta Perodua Bezza.

“Suspek kini direman sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen,” katanya.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 dunia lepasi 74 juta
Next post Ekonomi Malaysia dijangka pulih pada 2021
Ubah saiz-+=