Ahmad Nizam dilantik pengerusi PHB, Mohd Bakke kini Pengerusi Petronas

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR 12 Julai – Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dilantik sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yang baharu dan tempat beliau sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) akan diambil alih oleh Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Kedua-dua pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi PETRONAS.

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di PETRONAS dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

TAN Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi PETRONAS. Foto- The Edge Markets.

 

PETRONAS masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500.

PMO turut memaklumkan Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC.

“Pengalaman beliau di PETRONAS dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.

“Tan Sri Mohd Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa PETRONAS melalui tempoh mencabar sekarang kepada tahap yang lebih cemerlang,” menurut kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post Jazeman raih podium di Monza
Next post Mohd Bakke letak jawatan sebagai pengerusi TM mulai 31 Julai ini
Ubah saiz-+=