Mohd Bakke letak jawatan sebagai pengerusi TM mulai 31 Julai ini

0
374
TAN Sri Mohd Bakke Salleh. Foto- The Edge Markets.

KUALA LUMPUR 12 Julai – Tan Sri Mohd Bakke Salleh akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) berkuat kuasa pada 31 Julai ini selepas memegang jawatan itu sejak Mei 2020.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TM berkata Mohd Bakke akan digantikan oleh Datuk Mohammed Azlan Hashim mulai 1 Ogos, 2021.

TM berkata Mohd Bakke adalah suri teladan (role model) dalam menegakkan tabdir urus dan integriti serta tokoh korporat yang sangat dihormati dengan wawasan dibawanya dalam industri dan perdagangan untuk memberi manfaat kepada kumpulan itu.

DATUK Mohammed Azlan Hashim dilantik sebagai Pengerusi TM baharu. Foto – kwasadamansara

“Bersama dengan Ahli Lembaga Pengarah, ketua pegawai eksekutif dan pengurusan, kami telah menetapkan fasa pertumbuhan berikutnya untuk syarikat di bawah Transformasi TM Baharu (2021-2023), ditunjangi oleh 40+ Program Nilai.

“Ia telah menyaksikan permulaan yang kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan pada suku tahun di semua bidang perniagaan dan operasi yang lebih baik,” katanya.

Di bawah kepimpinannya, TM berkata kumpulan itu juga terus berkhidmat dan menyokong negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan rakyat Malaysia kekal selamat dan berhubung di rumah dan terus produktif dan pada masa yang sama menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan dalam waktu yang mencabar ini.

Mengenai pelantikan Pengerusi yang baharu, TM berkata Mohammed Azlan adalah tokoh korporat yang sangat dihormati dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan pelaburan dan kewangan terutamanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami menaruh harapan kepada bimbingan, nasihat dan kepemimpinan Mohammed Azlan ketika TM meneruskan perjalanan transformasinya dan fasa pertumbuhan serta penciptaan nilai tambah seterusnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.