jahiiid

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah pertuduhan pindaan

SHAH ALAM, 16 Jun – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 69, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob untuk meminda pertuduhan ketiga.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan pertukaran Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.

Sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah. “Faham, mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri telah mendapat untuk dirinya, sesuatu benda berharga iaitu wang tunai 15,000 Swiss Franc tanpa balasan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang beliau mengetahui syarikat tersebut mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Country Heights, Kajang pada Mei 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan masih berlangsung di hadapan Hakim Mohd Yazid.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

72
spm cm Previous post SPM 2021: Melaka rekod pencapaian GPN 4.83 peratus
photo1655367622 Next post SPM: 257 calon peroleh semua A di Melaka