Aidiladha: Hayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 9 Julai – Umat Islam di negeri ini diseru menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bersempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kisah itu jika dihayati sepenuhnya dapat melahirkan rasa tawaduk dan ketaatan kepada umat Islam dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

“Aidiladha adalah hari kebesaran Islam yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia dengan penuh keinsafan dan pengertian yang besar.

“Kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda Baginda Nabi Ismail Alaihissalam menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam kita menghadapi cabaran kehidupan seharian.

“Membuka lembaran sejarah, sememangnya pengorbanan para nabi kita sangat hebat dan besar di sisi Allah SWT. Kita dapat lihat bahawa Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail sangat patuh kepada arahan Allah sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa demi Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam video amanat sempena Hari Raya Aidiladha yang dirakam di Ladang Lembu Erol, Kampung Lendu Hilir, Masjid Tanah.

Dalam amanatnya, Sulaiman bersama isteri dan seisi keluarga turut menitipkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Melaka.

Beliau turut mendoakan semoga ibadah korban tahun ini diterima oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya, ibadah ini merupakan tanda ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Allah.

“Raikanlah Aidiladha secara bersederhana sebagaimana tuntutan syariat dan hayatilah erti pengorbanan di sebalik Aidiladha pada kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak semua umat Islam agar memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga wabak COVID-19 segera berakhir.

“Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat Allah itu sangat hampir kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan dan kita beroleh kemenangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2418
Kongsi :
Previous post Berita kemelut politik Melaka adalah provokasi – Mohd Ridhwan
Next post JAWI siasat wanita hina agama Islam di sebuah kelab
Ubah saiz-+=