Aidilfitri: Jumlah kenderaan masuk ke Melaka dijangka naik 30 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 7 April – Jumlah kemasukan kenderaan ke Melaka sempena cuti Aidilfitri dijangka meningkat kira-kira 30 peratus berbanding hujung minggu.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, peningkatan itu bukan sahaja susulan kepulangan perantau, sebaliknya turut membabitkan pelancong yang menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan untuk bercuti.

Katanya, sejak kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dilancarkan secara rasmi pada 31 Disember lalu, jumlah kemasukan kenderaan ke negeri ini tidak kurang 60,000 buah sehari pada hujung minggu.

“Jadi untuk cuti Aidilfitri ini semestinya akan berlaku lagi peningkatan, saya yakin boleh capai 30 peratus seperti yang kita jangkakan.

“Cuti panjang juga antara faktor menyebabkan berlaku peningkatan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Kedatangan Pelancong dan Kepulangan Perantauan Ke Melaka, di Pintu Gerbang Ayer Keroh, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Leng Chau Yen serta Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas yakin sasaran kehadiran pengunjung dan pelancong ke Melaka bersempena TMM2024 seramai 18.7 juta mampu dicapai.

“Kita ada lagi sembilan bulan, malah dalam tempoh tiga bulan pertama iaitu setakat Mac lebih tiga juta pelancong sudah Melawat Melaka. Banyak program sama ada berskala besar mahupun kecil diatur, kepelbagaian acara ini mampu menggamit pengunjung dan pelancong ke Melaka.

“Banyak program besar anjuran Kerajaan Persekutuan turut diadakan di Melaka termasuk sambutan Hari Belia Negara dijadualkan pada Mei ini,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan pada 2023 Melaka menerima kehadiran pelancong seramai 8,628,633 orang dengan peningkatan sebanyak 42.77 peratus atau bersamaan 2,584,806 orang.

“Berbanding tahun sebelum iaitu 2022 hanya 7,369,548 pelancong domestik dan 1,259, 085 pelancong asing mengunjungi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post Beratur panjang beli ayam, daging murah
Next post Harap sumbangan dibalas senyuman
Ubah saiz-+=