Beratur panjang beli ayam, daging murah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MERLIMAU 7 April – Orang ramai sanggup beratur panjang untuk membeli ayam yang dijual hanya RM10 seekor dan daging segar RM28 sekilogram di Pasar Tani Merlimau, di sini, hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati meskipun terpaksa beratur panjang orang ramai tetap menunggu dengan sabar untuk mendapatkan ayam dan daging yang dijual dengan harga yang rendah.

Pengunjung Rahimah Mohamad, 58, berkata, meskipun terpaksa beratur panjang dan menunggu lama, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli keperluan raya dengan harga yang murah.

“Selepas habis bekerja pagi tadi saya terus singgah ke sini untuk membeli ayam walaupun dihadkan hanya dua ekor seorang sahaja tetapi ia amat memadai kerana kebiasaan seekor berbelas ringgit.

“Dari pukul 7 pagi saya beratur, lebih sejam juga menunggu tetapi untuk ayam RM10 seekor kenalah sabar kerana bukan selalu dapat harga murah seperti ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Merlimau, hari ini.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal Agro Madani itu disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

699c0558 7e1d 4055 9242 82a84f06c8ed
Dr Muhamad Akmal memberikan ayam kepada pengunjung pasar tani.

Dr. Muhamad Akmal berkata, bersempena sambutan Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada Rabu, Jualan Agro Madani Edisi Mantai Aidilfitri dilancarkan dan berlangsung di 11 lokasi seluruh Melaka.

“Pada program ini kita tawarkan promosi harga lebih murah dari harga pasaran selain terdapat juga harga promosi seperti Kombo Madani berharga RM5 untuk 500 gram bawang dan 10 biji telur manakala ada juga kombo RM10 untuk minyak, tepung, gula dan nasi impit serta beras putih tempatan 10 kilogram ditawarkan dengan harga RM26.

“Jika kita lihat ramai yang datang dan berpuas hati dengan harga yang ditawarkan. Ini jualan untuk mantai dan insya-Allah selepas raya kita akan teruskan juga jualan ini dalam membantu rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

117
Kongsi :
Previous post Berbuka gaya berkelah di Dataran MBMB
Next post Aidilfitri: Jumlah kenderaan masuk ke Melaka dijangka naik 30 peratus
Ubah saiz-+=