Air mata iringi ibu terima diploma arwah anak

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

MERLIMAU 4 Disember – Air mata seorang ibu berlinangan sebaik menerima diploma arwah anak perempuannya, Allahyarhamah Rafiza Ahmad Rashdi, 22, pada Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) ke-20 hari ini.

Skrol diploma Allahyarhamah Rafiza diambil oleh ibunya, Rashidah Mei Hua Abdullah, 52, bersama dua lagi kakaknya, Rohayu, 29 dan Rafira, 23 pada majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Platinum PMM itu.

Arwah yang merupakan anak bongsu dari empat beradik  merupakan graduan Jabatan Perdagangan di politeknik dan meninggal dunia pada 13 November lalu akibat penyakit kanser saraf tahap empat.

Rashidah ketika ditemui tidak dapat menahan kesedihan apabila mewakili anaknya yang sepatutnya hadir pada hari bersejarah itu.

“Saya tak dapat tahan sebak teringat kat arwah, tapi apa pun syukur apabila arwah berjaya menamatkan pengajian sebelum menghembus nafas terakhirnya.

“Tak sampai setahun hilang suami, tahun ini anak bongsu pula yang ‘pergi’, ikutkan saya tak boleh terima, tinggal tiga anak, ini sahajalah penguat semangat saya,” luahnya.

4B9AAEFB-1ED4-4878-B0F1-92E01D64953E
RASHIDAH (tengah) bersama Rohayu dan Rashidah

Rashidah juga baharu kehilangan suami, Ahmad Rashdi Tufail Mohamed, 59 yang meninggal dunia akibat kencing manis tahun lalu.

Dalam pada itu, kakak sulung arwah, Rohayu pula berkata, adik bongsunya itu menanam cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajiannya di politeknik berkenaan.

Namun, ujarnya, impian itu tidak kesampaian apabila terlebih dahulu meninggalkan mereka sekeluarga.

“Sebak sangat bila terkenang semangatnya arwah dahulu. Seorang yang kental, bercita-cita besar dan sangst bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu.

“Arwah dapat tahu dia sakit itu pon dalam tempoh dua bulan, dia diagnosed terus tahap empat. Kami adik beradik redha dengan pemergian adik bongsu yang paling manja dan tegas,” luahnya.

EDC72E62-0D93-46D9-9B50-158C0F1233CE
ALLAHYARHAMAH Rafiza

Seorang lagi kakaknya, Rafira, yang sepatutnya hadir bersama allahyarhamah memakai jubah untuk menerima skrol diploma pada majlis konvokesyen di politeknik itu hari ini membatalkan hasratnya itu bagi menghormati pemergian adik tercintanya.

“Sebenarnya, saya tak kuat nak datang hari ini, tapi sebab pensyarah dan rakan-rakan lain bagi semangat, jadi saya teman ibu dan kakak untuk ambil skrol.

“Saya memang sangat rapat dengan arwah, kalau pergi mana-mana orang mesti ingat kami kembar, dia muds setahun dari saya.

“Nak masuk politeknik ni pun, kita masuk sama-sama, satu kelas, pergi mana-mana semua bersama, tapi pengakhirannya, dia pergi tinggalkan saya dan keluarga dulu,” jelasnya.

Terdahulu, keceriaan Majlis Konvokesyen Ke-20 PMM itu bertukar pilu apabila nama seorang graduan yang telah meninggal dunia, disebut untuk menaiki pentas mengambil skrol diploma.

Hadirin yang terdiri daripada ibu bapa, graduan dan tenaga pengajar politeknik yang sebak dengan pemergian arwah Rafiza itu, bertafakur seketika sambil menghadiahkan surah al fatihah bagi menghormati allahyarhamah.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,429 graduan berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma.

Ia melibatkan 281 graduan Kejuruteraan Elektrik; 279 graduan Jabatan Perdagangan, 278 Kejuruteraan Awam, 254 graduan Kejuruteraan Mekanikal dan 337 graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2992
Kongsi :
Previous post Aktif kokurikulum hilangkan stres belajar
Next post Nik Azmi fokus isu banjir, tenaga, perubahan iklim & alam sekitar
Ubah saiz-+=