Aktif kokurikulum hilangkan stres belajar

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MERLIMAU 4 Disember –  Menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi lima semester berturut dan Anugerah Khas Pengarah pada Konvokesyen kali ke-20 Politeknik Merlimau Melaka (PMM) merupakan kenangan paling manis bagi graduan Diploma Akauntan, Muhammad Azrul Sazali, 22.

Katanya, dia yang kini menjawat jawatan Eksekutif Akauntan di sebuah syarikat e-dagang di Petaling Jaya menzahirkan rasa syukur apabila terpilih merangkul anugerah utama pada istiadat konvokesyen kali ini.

Jelas anak ketiga dari empat beradik itu, dia sangat berbangga dengan kehadiran ibu, Rosnah Putih dan bapa, Sazali Derani  bersama-sama menerima anugerah tersebut di atas pentas.

“Ada yang bertanya bagaimana saya membahagikan masa apabila cemerlang akademik dan kokurikulum, jawapan saya mudah, saya akan belajar pada waktu malam.

“Cara saya kalau ‘stress’ pula, saya suka alihkan rasa tekanan tu dengan buat perkara yang menggembirakan. Macam saya sertai pelbagai ‘event’ jadi pengacara majlis, masuk persatuan, bergiat aktif, itu kuncinya.

“Bagi saya, setiap apa yang kita lakukan, kita perlu buat bersungguh-sungguh kerana itu tanggungjawab kita sebagai pelajar.

“Saya turut menghargai jasa kedua ibu bapa serta pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar,” katanya yang memperoleh gred purata 3.80.

EDDBF7AC-7EC3-4527-8F28-27EC97A1441C
Muhammad Azrul diapit ibu, Rosnah Putih dan bapa, Sazali Derani bersama piala selepas menerima Anugerah Khas Pengarah pada Istiadat Konvokesyen PMM kali ke-20, hari ini

Muhammad Azrul turut berkongsi, dia pernah menjual tudung jenamanya sendiri untuk mencari duit poket pada semester empat lalu, dan turut mendapat sambutan dalam kalangan pelajar politeknik tersebut.

“Saya pernah ada satu ketika, saya buat banyak perkara dalam satu masa, komitmen tinggi, saya menjadi pengacara pelbagai majlis di sini (politeknik), menjual tudung.

“Dan semester itu juga saya berjaya meraih dekan dan rangkul anugerah ketua jabatan, syukur,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen PMM kali ke-20 di sini hari ini.

Dalam istiadat konvokesyen tersebut, dua lagi pelajar  menerima Anugerah Khas Kejuruteraan Mekanikal, Nurul Ain Hanis Hasniza dan Anugerah Khas Jabatan Perdagangan, Muhammad Faiz Saifuddin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post Kebolehpasaran graduan PMM cecah 99.3 peratus
Next post Air mata iringi ibu terima diploma arwah anak
Ubah saiz-+=