AirAsia raih anugerah Perak di Putra Brand Awards 2021

KUALA LUMPUR, 22 Jan – AirAsia terus menjadi pilihan utama dalam kategori pelancongan dengan meraih anugerah Perak di Putra Brand Awards 2021 dalam kategori Pengangkutan, Perjalanan dan Pelancongan.

“Anugerah ini ditujukan kepada semua orang yang terus mempercayai jenama kami, dan kepada semua Allstars yang terus membina jenama Airasia sebagai sebuah jenama terkemuka,” kata Ketua Pegawai Jenama Kumpulan AirAsia Rudy Khaw.

Beliau berkata ketika syarikat penerbangan itu memasuki fasa endemik sebagai kumpulan perkhidmatan digital, rangkaian luas produk dan perkhidmatan AirAsia akan terus memanfaatkan antara satu sama lain untuk meningkatkan dan mengesahkan kehadirannya dalam pasaran di pelbagai industri.

“Tiada jenama lain di Asean yang menawarkan perkhidmatan seumpama kami dan dengan akses kepada lebih 700 juta pengguna di Asia Tenggara, kami meramalkan potensi pertumbuhan yang besar untuk menerajui kepimpinan jenama dalam semua produk dan perkhidmatan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anugerah Putra Brand Awards adalah inisiatif oleh Persatuan Ejen-ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) untuk mengiktiraf jenama tempatan dan antarabangsa pilihan rakyat Malaysia. Ia adalah satu-satunya anugerah yang dipilih oleh para pengguna.

Anugerah tersebut menerima lebih 11,000 maklum balas daripada pengguna di seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam tinjauan keutamaan pengguna untuk menentukan jenama kegemaran mereka dalam 24 kategori produk dan perkhidmatan berbeza.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Previous post ‘Saya rayu rumah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia segera dibina’ – Yusof Hassan
Next post Gempa magnitud 6.1 landa Indonesia Tengah, tiada amaran tsunami dikeluarkan