Ajal langgar lampu isyarat merah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Ogos – Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Gangsa, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, penunggang motosikal jenis Honda RS150R berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala pemandu dan penumpang kereta termasuk bayi berusia sembilan bulan mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama isteri dan anaknya sedang dalam perjalanan dari Ayer Keroh menuju ke Krubong, manakala mangsa datang dari arah Krubong menghala ke Batu Berendam.

Katanya, ketika kereta meneruskan perjalanan sewaktu lampu isyarat hijau, penunggang motosikal itu dipercayai telah membelok ke kanan semasa lampu isyarat merah menyebabkan kereta itu gagal mengelak dan berlaku rempuhan.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

“Manakala, pemandu dan penumpang kereta telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Kenderaan-kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan kenderaan,” katanya.

KETUA Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Beliau berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2655
Kongsi :
Previous post Anggota APM cedera van terbabas
Next post Futsal, cermin keharmonian kaum
Ubah saiz-+=