Ajal rempuh belakang kereta peronda lebuh raya

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR GAJAH 9 Februari – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta peronda di Kilometer (KM) 218.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, mangsa Muhammad Ammin Kamal Darul Ariff yang beralamat di Kampung Dusun Besar, Johol, Negeri Sembilan mengalami kecederaan di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150R sedang dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Melaka.

Jelasnya, pada waktu itu terdapat sebuah kereta mengalami kerosakan tayar di lorong kecemasan dan sebuah kereta peronda lebuh raya telah tiba di lokasi untuk membantu dan telah memasang lampu mata arah serta kon di belakang kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang dipercayai datang dari arah belakang telah melanggar kereta peronda itu pada bahagian belakang sebelah kanan dan terjatuh.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Alor Gajah dan pada jam 3 pagi, pihak hospital memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kenderaan terlibat ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom),” katanya.

Beliau berkata, kejadian tersebut telah dirakam menerusi kamera papan pemuka yang terdapat pada kereta peronda berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Kebersihan, perkasa pelancongan misi utama MBMB
Next post 160 graduan cilik Alor Gajah diraikan
Ubah saiz-+=