Ajaran PYMT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KOTA BHARU 18 Sept – Mesyuarat Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) telah memutuskan bahawa ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bercanggah dengan agama Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu diputuskan pada mesyuarat minggu lepas yang turut dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

“Alhamdulillah keputusan sudahpun keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita itu dan lebih 1,000 pengikutnya.

“Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini hari ini.

Beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat agar tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

“Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

Katanya, sebelum terbabit, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

“Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

452
Kongsi :
Previous post Satu badan khas perlu tangani harga ayam di pasaran
Next post KBS gesa operator, pengguna gim patuhi SOP elak ditutup semula
Ubah saiz-+=