AKCC tempat main golf, bukan tempat minum alkohol – KM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 23 Dis – “Ayer Keroh Country Club (AKCC) saya lihat tiada lesen untuk penjualan alkohol, saya dimaklumkan daripada orang ramai ada penjualan alkohol dekat situ…kita nak pergi main golf pergilah main golf bukannya minum arak di situ”.

Itu pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkenaan isu penjualan minuman keras yang tidak dibenarkan di pusat riadah tersebut.

“Apabila dimaklumkan kepada saya ada penjualan alkohol, saya kata itu milik kerajaan negeri 99 peratus, jadi saya kata tidak sepatutnya berlaku.

“Pertama tiada lesen untuk menjual arak, jadi ‘this is not good’ (ini tidak elok), kita nak bersukan, bersukanlah..kalau nak minum arak pergi tempat minum arak yang sudah dibenarkan.

“Itu tempat kita riadah bersukan, jadi bila saya terima aduan daripada orang ramai terlampau banyak, saya periksa sendiri memang ada jual dan tidak ada lesen,” katanya.

Ujarnya, premis tersebut tidak sepatutnya menjual minuman keras memandangkan ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke tempat riadah itu untuk bermain golf.

“Ada dalam kalangan anak-anak belajar ikut ibu bapa pergi main golf, jadi janganlah tunjuk tempat itu tempat kita minum arak pula, ‘sport is sport’ ya,” katanya lagi.

Terdahulu AKCC telah mengeluarkan satu notis jualan minuman keras di premis itu tidak lagi dibenarkan.

Pengurusan AKCC dalam satu kenyataan memaklumkan arahan itu telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan AKCC Berhad untuk menghentikan jualan minuman beralkohol di dalam premis AKCC berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post 10,000 sukarelawan YADIM dikerah bantu mangsa banjir
Next post Penyelarasan antara agensi lambat pada hari pertama banjir – Acryl Sani
Ubah saiz-+=