10,000 sukarelawan YADIM dikerah bantu mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 23 Dis – Kira-kira 10,000 sukarelawan di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di seluruh negara akan dikerah bagi membantu mangsa banjir yang terjejas secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, setakat ini, seramai 500 sukarelawan dari Johor, Pahang dan Perlis telah turun padang membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

Menurutnya, sukarelawan yang terlibat mempunyai jadual masing-masing bagi memastikan program khidmat bantuan berjalan lancar dan teratur.

“Insya-Allah selepas ini, lebih ramai sukarelawan YADIM akan turun padang untuk memberi khidmat bantuan bagi meringankan beban kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.

“Pada masa yang sama, YADIM juga mempunyai pusat latihan sendiri di Hulu Langat, Selangor berfungsi sebagai hab bagi mengatur dan merangka kesesuaian bentuk bantuan yang diberikan kepada orang awam yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Sukarelawan YADIM Selebriti, Penyampaian Musa’adah Yadim dan program Kembali Ke Sekolah sempena bulan Dakwah 2.0 yang disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin dan turut disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

KALSOM menyampaikan bantuan sumbangan kepada pemandu teksi.

Program anjuran kerjasama MPHTJ itu turut menyampaikan bantuan keseluruhan berjumlah RM50,000 termasuk kepada 100 penerima terdiri daripada pemandu teksi, pemandu e-hailing, murid sekolah dan penganjuran Flea Market yang menyalurkan barangan basah percuma kepada keluarga terpilih.

Selain itu menurut Tuan Kamarul, pihaknya juga akan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan berjumlah RM500,000 bagi meringankan penderitaan mangsa banjir antaranya bantuan wang tunai RM20,000 kepada negeri yang terjejas.

Ujarnya, ia juga termasuk kemudahan agihan barangan keperluan dan khidmat Dapur Rakyat yang memfokuskan kepada pemberian makanan berbungkus kepada mangsa banjir dan petugas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

949
Kongsi :
Previous post Tawar peluang pekerjaan melalui Pusat Satelit Luar Bandar
Next post AKCC tempat main golf, bukan tempat minum alkohol – KM
Ubah saiz-+=