Al Jufferi, tiga pesilat negara mara ke separuh akhir

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari menepati ramalan mara ke separuh akhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Ia selepas beliau berjaya menewaskan lawannya dari Filipina, Alvin T. Campos, 59-41 pada aksi suku akhir bagi kategori Tanding Kelas F.

Al Jufferi ketika ditemui pemberita selepas perlawanan bagaimanapun mengakui terpaksa bergelut sebelum menang berikutan terpaksa berdepan permainan ‘minda’ pesilat Filipina itu.

“Saya tidak salahkan pesilat itu tetapi cara dia agak tidak menyenangkan dan serangan yang dia cuba buat, namun saya cuba mengawal amarah dan gelanggang.

“Dari pusingan pertama, bila saya pegang body (tubuh) dia, dia menyiku bahu saya sedangkan dalam peraturan baharu teknik kunci itu dibenarkan.

“Dia (Campos) tahu ‘main injury’ saya di mana dan saya pula tidak tahan perasaan lalu melepaskan pada sasaran tepat,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pertempuran sengit itu bagaimanapun tidak memudarkan semangat atlet kelahiran Pahang itu untuk memburu pingat emas pada kejuaraan itu.

Bagi menghadapi saingan di separuh akhir esok, Al Jufferi sudah mengatur strategi untuk berdepan pesilat dari Algeria, Zetout Abdelmlk yang menewaskan wakil Pakistan, Muhammad Ammar, 55-11 dalam satu lagi aksi suku akhir.

“Apabila sudah keluar carta siapa yang bakal menjadi lawan, kita sudah atur strategi, contoh perlawanan pertama dengan India, kita perlu main dengan penggunaan bijak, strategi yang baik.

“Jika lawan dengan Filipina, kita kena ubah karakter yang agak agresif namun kita tidak boleh layan sangat kerana dia (atlet Filipina) memang kelebihan dia di situ,” katanya.

Turut mengiringi kemaraan Al Jufferi, juara bertahan silat wanita, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang menang mudah ke atas Sudha Chauhan apabila atlet dari India itu menarik diri selepas ketinggalan pada pusingan pertama dan kedua dengan 29-0 dan 53-1.

Turut melangkah ke separuh akhir, bekas juara Sultan Open International Championship Uzbekistan 2020, Mohd Fauzi Khalid dan Mohd Amiruddin Adzmi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1280
Kongsi :
Previous post ‘Laporan audit untuk 2016, bukan terkini’
Next post Kerajaan kaji penetapan harga siling ayam selepas 31 Ogos
Ubah saiz-+=