Sorting by

×

‘Laporan audit untuk 2016, bukan terkini’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 29 Julai – Perjanjian jual beli Lot PT8534 di Bandar Jasin Bestari bernilai RM21 juta telah ditamatkan awal tahun ini oleh Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam).

Ketua Pegawai Eksekutif Pertam Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, setelah ditamatkan perjanjian, status pemilikan tanah di lot tersebut telah dibuka kepada pemaju atau pembeli yang berminat untuk membangunkannya.

Mohd Ridhwan, berkata demikian ketika memberikan penjelasan berhubung isu kelewatan menyiapkan dan aktiviti usaha sama tanah kurang memuaskan hasil Laporan Ketua Audit Negara 2020 Siri 1 mengenai Pengurusan Tanah Agensi Negeri Melaka dikeluarkan pada 25 Julai lalu.

“Laporan yang dipetik Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, sebenarnya untuk tahun 2016 dan dalam tempoh ke tahun ini pelbagai penambahbaikan dan tindakan telah dilaksanakan.

“Mengenai isu lot tanah bernilai RM21 juta itu sebenarnya, Ahli Lembaga Pengarah Pertam telah membuat keputusan untuk menamatkan perjanjian jual beli dan selepas ditamatkan, kita buka tender kepada pemaju untuk beli serta bangunkan tanah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka Sidang 2, Penggal ke-33 tahun 2021-2022 di Hotel Muzafar, hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam dan kenamaan lain.

Mengikut laporan ketua audit negara 2020 siri 1, terdapat kelemahan dalam pengurusan tanah melibatkan tiga agensi kerajaan negeri iaitu Pertam, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Yayasan Melaka (YM) sehingga menyebabkan kelewatan pulangan aktiviti usaha sama tanah dengan syarikat swasta.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata Pertam akan lebih tegas dalam menangani isu pembangunan projek, bagi memastikan isu kelewatan seperti itu tidak berulang.

“Bagi perancangan masa hadapan, kita lebih fokus untuk membangunkan tanah pada skala kecil dalam anggaran luas dua hingga tiga ekar dengan Pertam memainkan peranan sebagai pemaju.

“Tanah milik individu atau kerajaan, kita akan kerjasama dengan pemilik tanah dan jalinkan perjanjian, seterusnya lantik perunding bertauliah untuk menjayakan projek serta kita juga akan mengawal pembangunan tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post Polis Bantuan, pemandu antara terima APC UTeM
Next post Al Jufferi, tiga pesilat negara mara ke separuh akhir
Ubah saiz-+=