Sorting by

×

Polis Bantuan, pemandu antara terima APC UTeM

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Julai – “Cabaran menjadi Polis Bantuan memang banyak terutamanya semasa bertugas pada waktu malam kerana kita satu-satunya anggota yang aktif pada waktu itu”.

Itu perkongsian Polis Bantuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)Koperal Zaimi Zol,56, yang telah berkhidmat di universiti itu selama 22 tahun dan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada hari ini.

Menurut Zaimi, dia pernah menghadapi situasi cemas apabila salah sebuah bangunan di UTeM hampir terbakar, namun ia dapat dikawal disebabkan kepekaan dan kepantasan rakan-rakannya mengendalikan insiden itu.

“Dahulu hampir berlaku satu kebakaran di dewan canselor tapi disebabkan kepekaan anggota ketika itu kita dapat mengawalnya, cabaran lain pula seperti pada waktu konvokesyen…dengan kenderaan keluar masuk yang banyak jadi kita perlu lebih bertolak ansur,” katanya.

Terdahulu Zaimi turut menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Sanjungan Universiti 2021 UTeM di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM di sini, hari ini.

Katanya, pengiktirafan APC itu adalah kali kedua diterimanya selepas tahun 2005 dan ianya sebagai tanda penghargaan tidak ternilai untuknya atas sumbangan bakti diberikan kepada pihak UTeM.

“Terima kasih kepada UTeM kerana menghargai mereka yang berkhidmat lebih 20 tahun ini, ini penghargaan tidak ternilai buat kami kerana daripada sumbangan bakti kami dihargai,” katanya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin (tengah) menyampaikan Anugerah Sanjungan Universiti kepada Polis Bantuan, Koperal Zaimi Zol (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Sanjungan Universiti 2021 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal. Foto: MR. AZLI

Seorang lagi penerima APC, Dr J Yogan, 41, turut berterima kasih kepada UTeM kerana menghargai titik peluhnya sejak berkhidmat pada tahun 2019 sebagai penyelaras perundingan di pejabat penolong Naib Cancelor Jaringan Industri dan Masyarakat.

“Penilaian APC ini diberikan kepada staf yang berkhidmat berdasarkan sumbangan, aktiviti atau skop tugasan mereka sendiri.

“Ini adalah tempat saya mencari pendapatan untuk keluarga, saya akan berada di sini sehingga saya bersara..saya berhasrat untuk menyumbang balik kepada UTeM supaya universiti ini sentiasa maju ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arrawi Abdul Hamid, 55, bersyukur diberikan peluang menerima AJB kerana telah berkhidmat sebagai Pemandu Kenderaan UTeM selama 20 tahun.

Katanya, terlibat dalam misi bantuan banjir di Kelantan dan Temerloh, Pahang merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dapat membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.

“Saya pernah terlibat dalam misi bantuan banjir sehingga ke Kelantan dan Temerloh, Pahang…ini pengalaman yang sangat berharga sebab kita dapat membantu masyarakat dalam kesusahan.

“Soal pekerjaan nak katakan memberi tekanan pada saya memang tiada, kita bekerja dengan perkhidmatan awam sebenarnya lebih seronok, walaupun jawatan saya rendah sebagai pemandu kenderaan saja saya seronok dan bangga.

“Kita bekerja bukan hanya untuk universiti, malah membantu komuniti atau masyarakat di luar sana yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1769
Kongsi :
Previous post Pasukan debat Melaka International School harumkan nama Malaysia
Next post ‘Laporan audit untuk 2016, bukan terkini’
Ubah saiz-+=